LAILATULQADAR adalah malam yang istimewa. Kelebihan yang ada pada malam Lailatulqadar melebihi seribu bulan termaktub dalam Al-Qur'an iaitu di dalam Surah Al-Qadar:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut), Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Surah Al-Qadar 097:1-5)
Menurut tafsiran Mujahid, beliau menyatakan ada seorang lelaki dari kalangan Bani Israel yang bangun malam untuk beribadah hinggalah menjelang Subuh. Kemudian dia berjihad pula di jalan Allah hinggalah menjelang petang. Dia melakukan perkara itu selama seribu bulan. (kira-kira 29,500 hari). Kemudian turunlah ayat itu yang menyatakan bahawa beribadah pada malam Al-Qadar adalah lebih baik daripada amalan lelaki tersebut (Ibn Kathir (1998), Tafsir Al-Qur'an Al-Azim, Jilid 8, Beirut, Halaman 3818).
Menurut Ali bin Urwah, Rasulullah s.a.w. menyebut bahawa terdapat empat orang dari kalangan Bani Israel yang beribadah kepada Allah selama 80 tahun dan tidak sesaat pun mereka melakukan maksiat kepada Allah. Para sahabat merasa takjub dan kagum mendengar amalan abid tersebut lalu datanglah Jibril a.s. dan membacakan kepada Rasulullah Surah Al-Qadar dan menyatakan bahawa malam Al-Qadar adalah lebih afdal darpada amalan empat abid tersebut. Para sahabat merasa gembira dengan anugerah Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w.
Tapi bilakah berlakunya malam Al-Qadar? Semasa Rasulullah s.a.w. masih hidup, Baginda pernah pada satu ketika ingin memberitahu kepada umatnya waktu sebenar berlakunya malam Al-Qadar, namun setelah berlaku pertengkaran dua orang sahabatnya tentang hal itu, maka maklumat tersebut diangkat oleh Allah dan dirahsiakan. Oleh itu, waktu sebenar berlakunya malam Al-Qadar itu hanya ada pada ilmu Allah.
Walaupun begitu, ada beberapa hadis yang menggambarkan bilakah malam Al-Qadar itu berlaku. Menurut pendapat yang masyhur, malam Al-Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dan ia berlaku pada malam-malam yang ganjil. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad daripada Ubadah bin Somit bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang malam Al-Qadar, lalu Baginda menjawab: "Malam Al-Qadar berlaku pada bulan Ramadhan, maka hendaklah kamu bersungguh-sungguh mencarinya pada sepuluh malam akhir Ramadhan".
"Sesungguhnya malam Al-Qadar itu pada 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau pada akhir malam Ramadhan." (Musnad Imam Ahmad 5/318). Daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Carilah Lailatulqadar pada malam-malam ganjil pada sepuluh akhir Ramadhan." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan